30 April 2009

Selamat Maju dan Berjaya



UCAPAN PENUTUP YDP KPMI SIDANG 2008/09

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera...

Terlebih dahulu saya panjatkan rasa syukur kehadrat illahi kerana dengan izin dan kuasa-Nya wujud satu platfom bagi pelajar jurusan Multimedia Interaktif bersatu melalui Kelab Pendidikan Multimedia Interaktif (KPMI). Sudah pasti dengan penubuhan kelab ini ukhwah sesama kita semakin bersemi dan segala aktiviti sesama ahli dapat dijalankan dengan lebih berkesan serta terancang.

Tanpa disedari sudah 3 tahun KPMI bertapak di bumi Universiti Sains Malaysia. Sidang 2008/09 dimulakan dengan sedikit kontroversi iaitu mengenai kutipan yuran semester sebayak RM20. Kami tegaskan wang ini kami akan gunakan dengan penuh amanah bagi menampung kos projek yang dirancang bagi mengurangkan yuran sesebuah projek. Terbukti strategi ini dapat menyelamatkan projek dari kerugian dan terdapat juga projek yang tinggi kosnya seperti Hari Keluarga dan Sambutan Aidilfitri dapat dikurang yuran penyertaan. Wang ini juga digunakan untuk mengurus kelab seperti belanja cetakan sijil, penerbitan DVD tutorial, jamuan kecil serta bayaran tenaga pengajar untuk bengkel.

Projek pertama sidang 2008/09 merupakan hari keluarga KPMI 2008. Kejayaan projek besar ini membuktikan barisan kerja seketariat yang begitu mantap dan bertanggungjawab. Kecemerlangan diteruskan dengan projek Bengkel Perisian, Sambutan Aidilfitri,Bengkel Perisian fasa II, Program Motivasi Sekolah serta Majlis Makan Malam dan Solat Hajat. Saya akui momentum bagi setiap projek setiap kali semakin berkurangan. Walaupun terdapat beberapa projek yang mendapat sambutan dingin, namun penganjuran projek begitu cemerlang dan amat membanggakan.Di kesempatan ini saya memohon maaf kerana tidak dapat menjalankan projek karnival komputer sepertimana yang dirancang atas masalah teknikal dan sokongan pihak atasan. Bagi projek yang belum sempat dilaksanakan seperti Sesi Fotografi, terpulang kepada pimpinan baru sama ada ingin meneruskan ataupun tidak.

Sebagai wadah komunikasi bagi menggalakan perkongsian ilmu dan jalinkan hubungan mesra kami mewujudkan web rangkaian sosial sendiri melalui penyedia khidmat NING. Sambutan di sini amat menggalakkan. Terdapat cadangan/usul daripada ahli senior sewaktu Mesyuarat Agong tahunan agar web ini dikekalkan sebagai hub komunikasi setelah tamat pengajian di USM kelak. Sebuah blog khas juga dibina untuk menyalurkan segala informasi mengenai projek yang dijalankan kelab. Idea blog ini amat praktikal dan berkesan sebagai salah satu altenatif bagi kelab menwar-warkan aktiviti. Selain itu KPMI juga mempunyai laman web rasmi yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai organisasi KPMI. Perantara maya ini akan terus digunakan bagi sidang akan datang dengan sedikit penambahbaikan aplikasi dan rupa agar lebih menarik dan interaktif.

Sudah tentu sidang ini meninggalkan seribu satu cerita buat kita. Saya memuji barisan seketariat, AJK projek serta beberapa ahli yang membantu dalam menjayakan projek yang dirancang. Tahniah dan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua kerana telah lulus dengan begitu cemerlang (dengan gred A) dalam ujian pengurusan dan pentadbiran organisasi melalui kelab ini. Diharap barisan baru yang dipimpin oleh saudara Faiz dapat mejana idea baru bagi menjalankan aktiviti yang menarik dan mendapat sambutan ramai. Kepada ahli senior yang bakal meninggalkan kelab, saya ucapkan terima kasih dan selamat maju jaya dalam alam perkerjaan nanti. Saya harapkan hubungan kita berkekalan pada masa akan datang. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kerana melahirkan serta mewariskan sebuah kelab yang begitu bermanfaat dan jitu matlamatnya kepada kami.

Secara peribadinya saya memohon seribu kemaafan kepada semua ahli kelab seandainya ada perbuatan atau kata-kata saya yang menyinggung perasaan anda. Kita hamba Allah yang lemah dan tak lepas dari melakukan kesilapan. Akhir sekali, selamat bercuti saya ucapkan kepada semua. Terima kasih, semoga Allah memberkati kelab kesayangan kita...


MOHD RAZIF BIN ABDUL RAZAK
YDP,
Kelab Pendidikan Multimedia Interaktif,
Sidang 2008/09

No comments: