09 July 2009

UCAPAN YDP KPMI SIDANG AKADEMIK 09/10

Assalamualaikum dan Selamat Datang ke laman sesawang Kelab Pendidikan Multimedia Interaktif (KPMI).

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya dapatlah kita meneruskan hidup sebagai khalifah dimuka bumi ini. Selamat kembali ke USM bagi sidang akademik 09/10.

Saya amat berbesar hati dan sukacita mengalu-alukan anda semua ke laman sesawang KPMI. Laman ini merupakan sebahagian kecil usaha untuk menonjolkan potensi, kecemerlangan dan kehebatan KPMI. Saya berharap dengan melayari laman ini anda akan mendapat informasi terkini berkenaan kelab ini.

Sedar mahupun tidak, sudah 3 tahun kelab ini beroperasi. Walaupun kelab ini masih hijau dan komunitinya amat kecil berbanding kelab-kelab lain yang ada di universiti ini, tetapi kelab ini tidak mati dan terus bertahan hingga kini. Bukan tempoh hayat yang menjadi ukuran, tetapi usaha sama yang menjana kekuatan kelab menjadi keutamaan. Tiada apa yang ada pada seorang tua sekiranya hanya usia yang menjadi ukuran. Dengan ini, saya berharap semua ahli kelab dapat memberikan komitmen sebaik mungkin kepada kelab agar kelab ini dapat memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada semua. Sebarang permasalahan atau ketidakpuashatian bolehlah diusulkan di saluran yang disediakan.
Barangkali sidang ini juga sidang terakhir untuk kita berkenalan dan mengekalkan ukhwah antara kita. Walaupun kita akan terpisah sampai tikanya nanti, dengan ikhlas saya berharap laman sesawang ini boleh menjadi medium yang dapat menghubungkan sesama ahli KPMI.

Saya bukanlah Barrack Obama, yang kata-katanya mampu mempengaruhi jutaan manusia. Saya hanya insan yang dipertanggungjawabkan oleh rakan-rakan untuk mengemudi kelab ini. Tanpa sokongan ahli, kelab ini tidak akan bertahan. Oleh demikian, saya amat mengharapkan kerjasama, semangat dan iltizam yang tinggi daripada semua ahli agar setiap aktiviti yang di usul dan dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Akhir kata, selamat menuntut ilmu, terima kasih dan semoga Allah memberkati kelab kesayangan kita...

Wassalam..



MOHAMMAD FAIZ BIN RAHMAT
YDP,
Kelab Pendidikan Multimedia Interaktif,
Sidang 2009/10

No comments: